suria

Penduduk Ladang Bukit Jalil Diberi Tempoh Hingga 3 Ogos Untuk Berpindah

KUALA LUMPUR: Seramai 41 daripada 105 orang penduduk Kampung Ladang Bukit Jalil, Puchong diberi tempoh sehingga 3 Ogos ini oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah Puchong.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata DBKL telah mengadakan dialog dengan penduduk sebanyak 11 kali bermula 2006 sehingga sekarang dan telah mengeluarkan enam notis pemindahan bermula 2007, namun mereka enggan berpindah.

"Selepas 3 Ogos, DBKL akan mengambil tindakan untuk memindahkan mereka ke PPR Muhibbah Puchong, jika mereka enggan berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara 3, DBKL di sini pada Jumaat.

Mhd Amin berkata pelbagai agensi kerajaan dan swasta dijangka terlibat dalam proses pemindahan itu membabitkan polis, Tenaga Nasional, Syarikat Bekalan Air Selangor dan beberapa jabatan di bawah DBKL.

Katanya permohonan penduduk tersebut untuk tidak membayar sewa tidak dapat ditunaikan bagaimanapun beberapa permohonan lain oleh kumpulan itu dipersetujui oleh DBKL.

"Semua permintaan mereka (penduduk) termasuk tidak memindahkan kuil besar dan sekolah termasuklah pemilihan blok, semuanya kita tunaikan tapi mereka minta tak payah bayar sewa rumah, itu memang kita tak dapat tunaikan," katanya.

Kawasan tersebut telah mula dibanci oleh DBKL sejak 2006 dan sebanyak 26 penduduk layak mendapat bayaran ex-gratia sebanyak RM300 yang diuruskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Ditanya mengenai pembangunan yang bakal dilaksanakan di situ, Mhd Amin berkata, pihaknya merancang untuk membina pusat perkuburan pelbagai kaum.

"Perancangan awal kita nak bangunkan tanah perkuburan bercampur tapi kita kena lihat dulu perancangan secara menyeluruh oleh Datuk Bandar," katanya.

Sementara itu, Mhd Amin berkata pihaknya turut bercadang untuk memenuhkan unit-unit kosong di PPR Kepong dan Seri Alam, Shah Alam bagi penduduk setinggan di sekitar Kuala Lumpur. -BERNAMA

Artikel Lain