suria

Harta Pusaka Syed Kechik Ditadbir Bersama Isteri Dan Tiga Anaknya

KUALA LUMPUR: Pertikaian dalam hak mentadbir harta pusaka Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary berjumlah RM400 juta akhirnya terlerai apabila Mahkamah Tinggi di sini hari Jumaat memutuskan isteri kedua dan tiga anaknya perlu mentadbir secara bersama.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng berkata beliau berharap keputusannya itu membolehkan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah (isteri kedua allahyarham) dan dua anaknya iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira serta Syed Gamal (anak bekas isteri pertama) bekerjasama tetapi sekiranya tidak mencapai kata sepakat, mereka boleh datang semula ke mahkamah.

Lee tidak menetapkan sebarang kos guaman kerana berpendapat ia adalah masalah keluarga.

Keputusan yang dibuat Lee pada pukul 8.15 malam ini penuh dengan kata-kata nasihat hingga membuatkan semua pihak yang berada di dalam mahkamah terdiam.

Katanya, dalam apa juga keadaan keluarga allahyarham perlu berfikir apakah yang diinginkan allahyarham sekiranya beliau masih hidup dan bagi Lee, Syed Kechik tentunya tidak mahu melihat situasi pertelingkahan itu berlaku malah beliau bekerja keras untuk memastikan kesenangan hidup anak-anaknya.

Tambahnya, harta yang diperoleh Syed Kechik sepanjang hayatnya bukan sahaja cukup untuk diberikan kepada anak-anak malah hingga ke cucu-cucunya.

Dalam penghakimannya itu juga, Lee sempat menasihatkan supaya lebihan dari harta pusaka itu disumbangkan sebagai amal jariah dan Syed Gamal serta keluarga dari isteri kedua Syed Kechik boleh memulakan proses perdamaian dengan melupakan segala pertelingkahan.

Dalam permohonan yang difailkan 14 April lalu, Syed Gamal, yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik, mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka itu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun tanpa meninggalkan wasiat.

Syed Kechik ialah bapa mertua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan itu berikutan tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas, mereka memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang, kerana Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat.

Syed Gamal diwakili peguam Pawancheek Marican, Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais manakala peguam Datuk N. Vijaykumar mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Sementara itu, selepas prosiding Syed Gamal sempat memberitahu pemberita beliau bersyukur dengan keputusan tersebut dan amat menghargai kata-kata nasihat daripada hakim untuk memulihkan kembali hubungan kekeluargaan. -BERNAMA

Artikel Lain