suria

Gengsterisme Di Sekolah Perlu Dilihat Secara Holistik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu gengsterisme membabitkan pelajar sekolah perlu dilihat secara holistik bagi mengenal pasti sama ada masalah itu berlaku berpunca dari sekolah atau kerana adanya elemen-elemen luar.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ini kerana pada masa kini, terdapat kecenderungan untuk mengaitkan perbuatan remaja di luar kawasan sekolah dengan status mereka sebagai pelajar sekolah.

"Memang semua anak muda pada peringkat umur tertentu adalah pelajar sekolah, tetapi kita perlu lihat apa yang mendorong perlakuan mereka itu (gengsterisme), mungkin ada kaitan dengan persekitaran mereka di luar sekolah," katanya ketika diminta mengulas gejala gengsterisme yang membabitkan pelajar sekolah sehingga ada yang dicederakan.

Terbaru tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai, Ampang dekat sini dibelasah teruk kerana enggan menjadi anggota kumpulan kongsi gelap yang aktif merekrut pelajar sekolah menengah untuk menjadi anggota kumpulan mereka.

Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas majlis meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia ke Sukan Sekolah-Sekolah Asean kedua 2010 di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini, mengakui bimbang dengan trend yang berlaku itu.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata sekiranya terbukti pelajar-pelajar sekolah melakukan jenayah, hukuman berat harus diambil terhadap mereka.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak termasuk ibu bapa dan sekolah memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kawasan persekitaran sekolah adalah kondusif dan selamat bagi mengelakkan berlakunya insiden pelajar sekolah dicederakan atau masalah-masalah lain yang boleh berlaku.

Polis pula disaran meningkatkan rondaan di kawasan sekolah bagi mengelak golongan yang "mencurigakan" memberi kesan kepada pelajar, kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain