suria

Dua Beradik Perempuan Dibebas Dengan Jaminan Polis

KUCHING: Dua beradik perempuan warga Indonesia, iaitu suspek terakhir ditahan polis bagi membantu siasatan sindiket jual bayi di sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Pendaftar Mahkamah Dayang Roselind Awang Mahdini membebaskan kedua-dua gadis berusia 22 dan 19 tahun itu pagi ini selepas tempoh reman mereka tamat.

Kedua-dua mereka ditahan pada 16 Julai lepas di sebuah rumah di Batu Kawa dan polis turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Dipercayai rumah itu adalah pusat transit sebelum bayi dijual.

Seramai 17 orang termasuk seorang ahli perniagaan berusia 65 tahun bergelar 'Datuk' dan isterinya, 43, ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis secara berperingkat sejak 22 Julai.

Kesemua mereka juga tidak didakwa.

Polis berjaya mematahkan sindiket itu pada 12 Julai lepas apabila seorang wanita Indonesia berusia 32 tahun didakwa cuba menjual seorang bayi berusia sebulan kepada anggota polis yang menyamar dengan harga RM10,000 di Batu Kawa di sini.

Lapan kanak-kanak berusia antara sebulan dan 12 tahun ditemui di beberapa lokasi di bandar raya ini dan kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan negeri. -BERNAMA

Artikel Lain