suria

Drama Di Mahkamah Tinggi Ipoh...

IPOH: Sepasang suami isteri menitiskan air mata lalu melafazkan rasa syukur apabila Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman membebaskan dan melepaskan mereka tanpa dipanggil membela diri atas dakwaan membunuh seorang lelaki, tujuh tahun lepas.

Mohd Khoharuddin Ismail, 48, Inspektor Kesihatan di Pejabat Kesihatan Kulim dan isterinya Siti Sabariah Ahamat, 44, yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat perumahan di Sungai Petani, terus memeluk anggota keluarga yang berada di galeri awam Mahkamah Tinggi di sini sebaik sahaja keputusan dibacakan.

Terdahulu, Dr Hassan ketika menyampaikan keputusan itu berkata mahkamah membebaskan dan melepaskan Mohd Khoharuddin dan isterinya Siti Sabariah setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka

"Setelah mendengar keterangan-keterangan pendakwaan dan hujah bertulis, mahkamah mendapati keterangan mengikut keadaan iaitu eksibit P74 (keterangan saksi) yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak memuaskan mahkamah untuk mewajarkan satu kesimpulan tertuduh melakukan perkara itu.

"Oleh yang demikian, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie," katanya.

Pasangan suami isteri itu dituduh membunuh Mohd Yusof Ismail, 32, di Km 20, Jalan Lepang Nenering, Kampung Lalang di Gerik, kira-kira jam 4 pagi, 1 Feb 2003, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Khoharuddin yang ditahan di Penjara Pulau Pinang selama tujuh tahun dan lima bulan atas pertuduhan itu melahirkan rasa gembira serta bersyukur terhadap keputusan mahkamah hari ini.

"Selama ini saya ditahan kerja dan dibayar gaji separuh. Saya boleh sambung kerja saya balik seperti yang telah diberitahu pegawai saya. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada peguam saya yang telah banyak membantu.

"Sepanjang di penjara saya tidak putus berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kebenaran kepada saya," katanya.

Siti Sabariah pula menyifatkan keputusan mahkamah itu adalah satu anugerah Allah kepadanya dan sebagai satu keberkatan yang Allah berikan terhadap mereka sempena bulan Sya'aban ini.

"Alhamdulillah saya dapat berkumpul semua dengan anak-anak saya untuk sambut Ramadan, saya akan bayar balik apa yang saya terhutang kepada anak-anak selepas ini (kerana ditahan tujuh tahun dan lima bulan di Penjara Pulau Pinang)," katanya dengan sebak.

Sepanjang perbicaraan itu, seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mohd Khoharuddin dan Siti Sabariah diwakili peguam Naran Singh manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason.-BERNAMA

Artikel Lain