suria

Bas Sekolah Perlu Ada Pemandu Kedua - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan diminta menggubal satu polisi yang mewajibkan setiap bas dan van sekolah mempunyai pemandu kedua atau konduktor bagi menjamin keselamatan kanak-kanak khususnya daripada jenayah seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kehadiran pemandu kedua atau konduktor khususnya daripada kalangan wanita diharap dapat menangani isu seperti rogol kanak-kanak yang dilihat semakin meningkat.

"Kita ada 'Child Protection Policy' yang mana kita tak boleh letak kanak-kanak ini dalam keadaan yang mengundang bahaya. Jadi saya fikir kes rogol kanak-kanak ini telah membuktikan yang kita tak boleh ada hanya seorang pemandu saja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau yang sebelum itu merasmikan program 'Clove Femme City: Streets Ahead for Women 2010' mengulas mengenai kejadian beberapa murid perempuan sekolah rendah yang dicabul dan dirogol oleh pemandu bas dan van sekolah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata beliau juga sudah meminta Peguam Negara agar mempercepatkan siasatan kes tersebut.

Program tiga hari sehingga Ahad ini yang dianjurkan oleh Clove, sisipan bulanan akhbar The Star, menawarkan pelbagai bengkel dan pameran termasuk mengenai kecantikan, kesihatan, fesyen serta hobi. -BERNAMA

Artikel Lain