suria

Tiga Murid Sekolah Rendah Dikenal Pasti Dirogol Pemandu Bas

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga murid perempuan sekolah rendah di Petaling Jaya telah dikenal pasti menjadi mangsa rogol seorang pemandu bas sekolah yang ditahan Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai dirogol pada hari berlainan ketika menjadi penumpang terakhir bas sekolah terbabit.

"Hasil siasatan polis mendapati tiga kanak-kanak sekolah rendah yang salah seorang berusia 10 tahun, menjadi mangsa rogol lelaki berusia 51 tahun itu di dalam bas berkenaan ketika pulang dari sekolah," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata polis kini sedang mengambil keterangan ketiga-tiga mangsa untuk membantu siasatan selain mendapat gambaran sebenar kejadian.

"Kita sedang siasat jika ada lagi mangsa lain dan kita perlukan masa untuk merekod percakapan kanak-kanak ini, kerana terdapat sedikit kesukaran apabila mereka tidak dapat menerangkan secara jelas tentang apa yang berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata polis sedang giat memburu suspek kes cabul kanak-kanak sekolah berusia 12 tahun, yang membabitkan pemandu van sekolah di Kelana Jaya.

"Kita telah ke rumahnya dan mendapati suspek telah melarikan diri," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kedua-dua kes.

Kejadian rogol itu terbongkar apabila pemandu bas yang merogol seorang murid Tahun Empat pada 12.45 tengahari, 26 Julai lalu, ditangkap orang ramai yang ternampak bas itu diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

Dalam kes kedua pula, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dicabul seorang pemandu van ketika ke kelas tambahan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dengan keluar dari van tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain