suria

Tak Tahu Jadi Penjamin ‘Jutawan’

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dinamakan sebagai penjamin kepada ‘Jutawan’ Lubnan, Elie Yousseff Najem memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, dia sebenarnya tidak tahu dirinya menjamin lelaki itu.

Sebaliknya, Haslinda Mohd Rohman, 30-an mendakwa, dia sekadar meminjamkan wang kepada Elie, 51, yang didakwa berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk serta menggunakan sindiket untuk berkahwin dengan bekas isterinya, Farinnie Mohd Farid.

Pasangan itu berkahwin pada 6 Oktober 2005 dan disahkan bercerai selepas mahkamah membenarkan permohonan fasakh oleh Farinnie, 24, pada 29 April lalu.

Mereka dikurniakan anak, Prince-Kovadis Yousseff Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2 tahun.

Semasa kali pertama Elie dihadapkan ke mahkamah, Haslinda yang beralamat di Taman Selayang hadir dan menjamin lelaki itu dengan jaminan sebanyak RM500.

Bagaimanapun, pada prosiding Rabu, Haslinda memberitahu, dia tidak mahir dengan prosedur mahkamah memandangkan itu merupakan kali pertama dia hadir.

"Saya tak sangka saya jadi penjamin. Saya ingat hanya pinjamkan wang kepada dia (Elie)," katanya yang mengenali Elie selama dua minggu menerusi Roslin Tahir, 49, iaitu wanita yang didakwa berkhalwat dengan lelaki itu.

Haslinda juga memberitahu, cubaannya untuk mencari Elie tidak berjaya kerana telefon bimbit lelaki tersebut telah ditutup.

“Saya juga tidak dapat menghubungi mereka yang mengenali dia. Saya buat carian di beberapa balai polis tapi tak jumpa," katanya.

Usaha menjejaki Elie juga bertambah rumit disebabkan Haslinda tidak mengetahui latar belakang lelaki yang pernah mendakwa dirinya antara individu terkaya di dunia.

Justeru itu, wanita bertubuh kecil tersebut memohon dilepaskan daripada terus menggalas tanggungjawab sebagai penjamin.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohamad Sukri Abd Wahab berkata, pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada Haslinda bagi tujuan itu.

“Penjamin perlu membuat surat dan saya kena berbincang dengan Ketua Pendakwa Syarie. Saya mohon penjamin perlu mengemukakan penjamin baru jika ingin menarik diri memandangkan kes ini berprofil tinggi," katanya.

Mohamad Sukri juga memohon supaya wang jaminan tertuduh dirampas menjadi hasil kerajaan.

Beliau yang merujuk kepada Seksyen 34(2) Akta 560 Akta Prosedur Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 memohon supaya waran tangkap tertuduh dilaksanakan oleh Ketua Polis Wilayah Persekutuan dan sesalinan diberikan kepada Ketua Polis Negara.

“Pihak kami percaya tertuduh masih berada di sekitar Wilayah Persekutuan,” tambahnya.

Hakim Syarie Ab Malek Awang membenarkan permohonan itu dan menetapkan 8 September ini sebagai sebutan semula kes. Beliau juga memerintahkan Haslinda untuk mengemukakan sebab mengapa dia tidak perlu didenda kerana ketidakhadiran tertuduh.

Elie yang mengemparkan negara apabila membuat pengumuman akan menderma RM1.03 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) pada tahun 2006 juga dijangka akan kehilangan seorang lagi penjamin bagi pertuduhan berkhalwat.

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu, menetapkan sebutan kes khalwat itu pada 19 Ogos ini untuk mendengar hasrat penjamin itu sebelum kes dibicarakan pada 30 September depan.

Elie didakwa berkhalwat bersama Roslin di sebuah bilik bernombor 8804, Timgkat 8, Wisma Belia, Brickfields, di sini pada pukul 3.45 petang, 27 April lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Kesalahan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Lain