suria

Sebutan Kes Bunuh Haresvarra 1 September

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan yang mengendalikan kes bunuh seorang kanak-kanak berusia 18 bulan, K. Haresvarra telah menyerahkan dokumen yang terlibat kepada pihak pembelaan yang mewakili seorang kelindan lori yang didakwa melakukan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin mengesahkan dokumen yang terdiri daripada laporan bedah siasat dan laporan kimia telah diserahkan semasa kes disebut di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Penolong Kanan Pendaftar, Mohd Fadhly Yaacob seterusnya menetapkan 1 September ini sebagai sebutan semula kes memandangkan pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, M. Rajamorgan ingin meneliti dokumen sebelum memutuskan sama ada akan membuat representasi atau tidak.

Sekiranya pihak pembelaan yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan N.Surendran ingin membuat representasi, mereka perlu mengemukakan representasi itu pada tarikh tersebut.

Rajamorgan, 33, didakwa membunuh Haresvarra antara pukul 9.40 dan 10.10 malam, 3 Mac lalu di taman permainan kanak-kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara, dekat sini.

Tertuduh kali pertama didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, dekat sini pada 15 Mac lalu dan kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain