suria

PPP Bela Diskaun Bumiputera Beli Rumah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk A.Chandrakumanan membidas anggota Parlimen DAP Tony Pua yang meminta kerajaan Selangor memansuhkan diskaun Bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah sewa di negeri berkenaan.

Menurutnya Tony Pua tidak sepatutnya menyentuh hak istimewa kaum Bumiputera yang terlindung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Mengapa beliau harus menyentuh hak keistimewaan orang Melayu, sedangkan beliau boleh mencadangkan supaya diskaun seperti itu juga diberi kepada kaum bukan Bumiputera yang berpendapatan kurang daripada RM3,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chandrakumanan juga mempersoalkan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyokong cadangan tersebut, sambil mendakwa ia adalah agenda politik Khalid.

Beliau berkata Khalid sepatutnya berusaha mengekang kumpulan yang menyalahgunakan hak istimewa yang diperuntukkan kepada kaum Bumiputera serta membantah cadangan DAP itu.

Sementara itu, Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor berpendapat orang Melayu akan tertindas dalam pembelian rumah jika keistimewaan yang diperoleh sejak Merdeka, ditarik balik.

Setiausaha Kehormatnya Ramlan Husain berkata senario pada masa ini juga sudah menampakkan bahawa orang Melayu dan Bumiputera tertindas apabila kebanyakan pemaju menawarkan hartanah kepada kaum lain.

"Contohnya, mereka akan tawarkan lot-lot komersial yang mempunyai kedudukan strategik kepada kaum lain, manakala orang Melayu akan ditawarkan lot-lot yang terletak di belakang, ini bias dan tidak menguntungkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain