suria

Polis Tahan Lima Lelaki Disyaki Terbabit Jual Kereta Curi

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelesaikan 14 kes penjualan kereta curi dengan tertangkapnya lima lelaki dalam beberapa serbuan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua suspek yang berumur antara 23 hingga 45 itu berasal dari Kelantan dan mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam membabitkan dua suspek dalam sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu berhampiran sebuah bengkel kereta di Brickfields.

"Suspek cuba melanggar polis yang hendak menahannya, namun mereka akhirnya berjaya ditahan, dan pemeriksaan mendapati kereta yang dinaiki mereka adalah kereta curi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek didapati mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencuri kereta dan motosikal di Pantai Dalam serta Salak Selatan, dan menurutnya susulan tangkapan itu polis menahan tiga lagi suspek di rumah masing-masing di sekitar Shah Alam awal pagi ini.

"Polis menahan suspek ketiga pada pukul 2 pagi dan siasatan awal mendapat suspek mempunyai dua rekod jenayah mencuri. Suspek keempat pula ditahan pada pukul 4.50 pagi dan siasatan mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau. Sejam kemudian polis menahan suspek kelima," katanya.

Wan Abdul Bari berkata polis turut merampas beberapa motosikal curi, peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan dan telefon bimbit daripada kelima-lima suspek.

"Kelima-lima mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaaan kerana mencuri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain