suria

Polis Johor Rampas Ketamin, Ekstasi Bernilai Lebih RM300,000

JOHOR BAHARU: Polis Johor berjaya merampas dadah dianggar bernilai RM330,000 dan menahan enam orang termasuk tiga warga Singapura dalam dua serbuan pada minggu lepas dan kelmarin, di sini. Ketua Polis negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan pertama pada Rabu minggu lepas, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 38 tahun di Taman Seri Austin kerana disyaki mengedar dadah jenis ketamin.

Mereka yang dipercayai mengedar dadah sejak lima tahun lepas ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pada pukul 11 malam, dan hasil pemeriksaan polis menemui ketamin seberat 8.6 kilogram, pelbagai peralatan pembungkusan dan pengedaran, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau berkata dadah itu dianggar bernilai RM250,000 dan dipercayai untuk edaran tempatan.

Polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha LC, seutas rantai emas dan sebuah kereta Proton Waja dengan nilai keseluruhan RM27,500, katanya.

Dalam serbuan kedua di sebuah apartmen di Senibong, Masai pada Selasa lepas, polis menahan tiga rakyat Singapura dan seorang lelaki tempatan dipercayai anggota sebuah sindiket mengedar dadah di bandar raya ini.

Warga Singapura terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita daripada sebuah keluarga, masing-masing berusia 28, 62 dan 61, serta lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini, katanya.

Dalam serbuan pukul 2 petang itu polis menemui dadah dipercayai ecstasy dalam bentuk serbuk dan pil iaitu lima paket plastik mengandungi 350 gram serbuk dan 32 biji pil seberat lapan gram dengan nilai keseluruhan kira-kira RM80,000.

Polis turut menjumpai pelbagai peralatan pencetak dan pembungkusan pil di apartmen tersebut serta menyita sebuah kereta Honda City bernilai RM87,000.

Kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain