Polis Gagalkan Cubaan Culik Seorang Pelajar Di Besut - Semasa | mStar

Polis Gagalkan Cubaan Culik Seorang Pelajar Di Besut

BESUT: Cubaan dua lelaki menculik seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di depan pintu pagar sekolahnya di Kampung Limbongan, di sini gagal setelah kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa terbabas.

Bagaimanapun, polis dapat menahan kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 23 tahun dan rakannya, remaja 15 tahun yang tidak lagi bersekolah, kedua-duanya berasal dari daerah ini, tidak sampai tiga jam selepas melakukan jenayah itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Md Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang semalam, kedua-dua suspek cuba mengheret pelajar perempuan yang baru keluar dari kawasan sekolah itu masuk ke dalam kereta mereka.

Sebelum itu, kereta jenis Perodua Kenari berwarna hitam itu dilihat berlegar-legar di kawasan berkenaan.

"Berlaku pergelutan apabila mangsa yang cuba melarikan diri diheret kedua-dua suspek masuk ke dalam kenderaan mereka.

Mangsa yang diletakkan di tempat duduk sebelah kiri pemandu dipeluk suspek berumur 15 tahun manakala rakannya memecut laju kereta itu menuju ke arah Kuala Besut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata seorang guru yang melihat pelajar berkenaan dibawa secara paksa dua lelaki itu sehingga cermin matanya terjatuh telah melaporkan kejadian itu kepada polis.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, kereta yang dipandu lelaki yang baru sahaja mendapat anak sulung itu terbabas ke dalam parit menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian badan dan kepala.

"Siasatan awal kita mendapati suspek gagal mengawal kereta dipandunya setelah pelajar perempuan itu meronta-ronta dan menendang kedua-dua suspek," katanya.

Noor Zainy berkata kedua-dua suspek meninggalkan kereta dan mangsa yang cedera parah di tempat kejadian, dikejarkan penduduk di situ ke Hospital Daerah Besut sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa yang merupakan anak seorang pemandu bas masih dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi stabil, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

Noor Zainy berkata sebaik menerima laporan guru berkenaan, polis melancarkan gerakan mengesan kedua-dua suspek dan bergegas ke kampung berkenaan setelah mendapat maklumat mengenai kemalangan yang berlaku.

"Suspek kemudiannya ditemui bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Alor Jejawi, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata sebelum ditahan, lelaki berumur 23 tahun itu telah mencuri pakaian daripada penyidai sebuah rumah penduduk di situ dan menukarkan pakaiannya yang berlumuran darah akibat luka di bahagian kepalanya ekoran kemalangan itu.

Katanya, polis percaya kedua suspek cuba merogol pelajar berkenaan berdasarkan sebelum kejadian itu kedua-dua suspek cuba untuk menculik pelajar perempuan lain di sekolah sama tapi gagal.

Katanya, kedua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan 376/511 Kanun Keseksaan atas cubaan menculik dan cubaan merogol.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau pernah menjadi mangsa cubaan culik atau rogol di daerah itu supaya datang ke Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini untuk membuat laporan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain