suria

NGO Setuju Guru Dibenar Berpolitik, Mampu Bantu Terangkan Dasar Kerajaan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan membenarkan guru siswazah terlibat dalam politik menerima reaksi positif daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan.

Kesemua NGO tersebut menyifatkan penglibatan guru dalam arena politik selain mampu mendidik, membolehkan mereka juga berperanan untuk menerangkan dasar kerajaan kepada masyarakat.

"Kita setuju bahawa guru-guru diberikan peluang untuk aktif dalam politik tanpa menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan guru juga dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab memberi maklumat secara betul kepada masyarakat, selain bertindak sebagai mata dan telinga untuk kerajaan.

"Sepatutnya ia (kebenaran berpolitik) telah lama dilakukan. Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada kerajaan dengan pengumuman tersebut," kata presiden Kongres Kesatuan dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres) Jemali Paiman kepada Bernama.

Beliau mahu satu garis panduan berpolitik dikeluarkan kerajaan supaya guru terbabit tidak mengabaikan tugas hakiki mereka sehingga boleh menimbulkan krisis kepercayaan ibu bapa terhadap profesion perguruan.

Selasa lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan bermula Ahad ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenar melibatkan diri dalam politik.

Mohd Sidek berkata langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

Jemali berkata bagaimanapun, para guru diingatkan supaya tidak menjadikan sekolah atau bilik darjah sebagai medan berpolitik selain menghargai peluang yang diberikan.

"Ketua-ketua jabatan, pengetua atau guru besar perlu mengambil tindakan terhadap guru-guru yang tidak beretika ini (berpolitik di sekolah)," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Syed Anuar Syed Mohamad yang turut meminta pemimpin politik tidak melihat penyertaan guru sebagai ancaman.

"Kemasukan guru-guru ini harus dilihat sebagai pelengkap kepada parti serta bagi mengukuhkan kestabilan politik negara yang ada sekarang," katanya.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia Irmohizam Ibrahim pula berkata penyertaan guru dalam medan politik juga mampu membentuk pemikiran masyarakat terhadap kerajaan.

Katanya, selain itu, ia juga dilihat mampu membantu kerajaan dalam menjayakan pembangunan modal insan secara holistik.

"Saya yakin dan percaya mereka yang nak terlibat dalam politik ini, adalah mereka yang betul-betul minat dan sanggup berjuang. Mereka juga seharusnya mempunyai pemikiran matang dalam berpolitik tanpa mengabaikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya.

Mengenai cadangan Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia supaya kerajaan memperluaskan kebenaran berpolitik kepada pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam, beliau berkata peluang serupa harus dipertimbangkan kerajaan, khususnya kepada mereka yang tidak berkuasa membuat keputusan.

"Seperti guru, pensyarah biasa yang tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sesuatu perkara, harus dibenarkan menyertai politik, tetapi bagi mereka yang mempunyai jawatan seperti Timbalan Dekan, Dekan, Rektor dan Naib Canselor, mereka tidak boleh dibenarkan berpolitik, bimbang akan wujud konflik kepentingan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain