suria

Makmal Khas Disyor Supaya Ditubuhkan Khusus Tangani Gejala Buang Bayi

KUALA LUMPUR: Sebuah makmal perlu diwujudkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menangani isu pembuangan bayi dengan lebih berkesan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata cadangan itu dibuat dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada gejala pembuangan bayi dalam negara, dan yang merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

Katanya perkara itu dibangkitkan pada satu mesyuarat hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, wakil Pejabat Peguam Negara, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kementerian.

Bercakap pada satu persidangan media selepas mesyuarat itu, Jamil Khir berkata perkara itu perlu bagi membolehkan isu pembuangan bayi ditangani secara bersama, dan bukan hanya dibebankan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Isu ini seolah-olah terbeban kepada wanita, dan kementerian ini dilihat seolah-olah bertanggungjawab penuh, sedangkan isu itu lahir daripada dua pihak, lelaki dan perempuan. Kes ini serius, penyelesaian juga mesti serius," katanya.

Jamil Khir berkata Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang diterajui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai ketua pegawai eksekutifnya, diharap dapat melihat secara spesifik beberapa perkara yang boleh mambantu menyelesaikan isu berkaitan gejala buang bayi ini.

"Ia termasuk nilai-nilai dalam masyarakat, pengukuhan institusi keluarga, kesihatan reproduktif serta pengawalan bahan-bahan pornografi. Adakan juga program khusus supaya tidak hanya kaum wanita yang dijadikan sasaran dalam kes sebegini," katanya.

Ketika ini terdapat enam makmal dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur asas luar bandar dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bandar. - BERNAMA

Artikel Lain