suria

KPDNKK Johor Rampas Pakaian Dan Kasut Tiruan Berjenama Bernilai RM20,000

JOHOR BAHARU: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor merampas lebih 8,000 pakaian dan kasut tiruan berjenama bernilai RM20,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres di Taman Perling, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarahnya Abdul Hamid Abu Bakar berkata serbuan pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan intipan selama sebulan ke rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor penyimpanan itu.

"Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 40an yang dipercayai menjaga pelbagai barangan tiruan jenama Adidas, Nike, Levi's dan Crocs dalam rumah itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua barangan yang dipercayai dibawa masuk dari China itu dipercayai untuk edaran di pasar malam, pasar borong dan kedai kecil yang menjual barang-barang tiruan di Johor.

Katanya kesemua barangan itu disita mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika disabit kesalahan pengusahanya boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain