suria

Kerani Wanita Diikat, Wang Syarikat Lebih RM3,000 Dilarikan Penyamun

KUANTAN: Rutin seorang kerani wanita di sebuah syarikat pengeluar barangan elektronik yang tidak keluar makan tengah hari mengundang padah apabila dia diikat dalam satu kejadian samun di kawasan perindustrian Semambu di sini, Rabu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Haris Daud berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun tinggal bersendirian selepas lima lagi rakan sepejabatnya keluar makan tengah hari.

Beliau berkata, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang cuba menyamun wang syarikat yang berada di dalam laci meja wanita berkenaan.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum tangan dan kaki wanita berkenaan diikat serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat yang diambil di pejabat itu," katanya ketika ditemui di sini, Khamis.

Katanya, lelaki terbabit kemudian mengambil wang syarikat itu yang berjumlah RM3,852 sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Bagaimanapun, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain