suria

Keputusan Siapa Pentadbir Harta Pusaka Syed Kechik Esok

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai siapa yang layak mentadbir harta pusaka Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary yang bernilai RM400 juta, akan diputuskan esok oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memerintahkan kesemua pihak yang terbabit dalam pertikaian itu memfailkan kenyataan saksi dalam bentuk afidavit, serta mengemukakan hujah lisan sebelum beliau membuat keputusan.

Mahkamah perlu menentukan siapa yang layak mentadbir harta peninggalan jutawan berkenaan, sama ada anak lelaki Syed Kechik menerusi perkahwinan pertamanya iaitu Syed Gamal, atau isteri keduanya Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua anak perempuan mereka iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, kata peguam Pawancheek Marican yang mewakili Syed Gamal kepada pemberita selepas prosiding kes itu hari ini.

Mahkamah sepatutnya memutuskan hari ini permohonan kaveat Syed Gamal terhadap keluarga tirinya bagi menghalang mereka menguruskan harta pusaka itu tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

Selain Pawancheek, Syed Gamal diwakili Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais manakala peguam Steven How Chee Hong dan Uma Parvathy mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dalam permohonan yang difailkan 14 April lalu, Syed Gamal, yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik, mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka itu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan itu berikutan tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas, mereka memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang, kerana Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat. - BERNAMA

Artikel Lain