suria

KDN Rampas CD Haram Bernilai Lebih RM4 Juta

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya merampas sebanyak 337,239 keping cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak bernilai lebih RM4 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini di sekitar bandaraya.

Ketua Cawangan KDN Wilayah Persekutuan Noor Aziah Abdullah berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga merampas 13,262 CD lucah yang dianggar bernilai RM225,454.

"Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, kami telah menjalankan sebanyak 167 operasi di sekitar negeri ini, dan telah menahan seramai 109 orang yang menjual serta mengedar barangan cetak rompak tersebut," katanya kepada pemberita di Pejabat Bahagian Kawalan Filem KDN di sini hari ini.

Beliau berkata serbuan di daerah Sentul mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 48 orang, diikuti Brickfields (23), Cheras (23) dan Dang Wangi (15).

Katanya penjual CD cetak rompak selalunya membina bilik tersembunyi di dalam premis dan meletakkan yang asli di luar selain menggunakan nama perniagaan lain bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Mereka yang ditahan kebanyakannya menjual CD dan DVD cetak rompak itu di dalam premis, dan ada juga yang menjual secara terang-terangan kepada pelanggan seperti di tepi jalan serta kedai makan," katanya.

Beliau berkata KDN akan terus melipatgandakan serbuan dan tangkapan meskipun anggotanya yang sering menerima ugutan termasuk bunuh serta diekori individu tertentu selepas menjalankan serbuan.

Katanya mereka yang didapati bersalah mengedar dan menjual CD haram, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM30,000.

Pengedar dan penjual CD lucah pula menghadapi hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM50,000 jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain