suria

Jabatan Taman Laut Rancang Warta 32 Pulau Baru

PULAU REDANG: Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) merancang mewartakan 32 buah pulau baru sebagai Taman Laut dalam usaha menjaga dan melindungi sumber marin termasuk batu karang.

Ketua Pengarah JTLM Abdul Jamal Maidin berkata pihaknya kini sedang mengumpul maklumat dan data terhadap pulau-pulau berkenaan untuk dikemukakan kepada kerajaan secepat mungkin.

"Sehingga ini terdapat 42 buah pulau yang diwartakan sebagai taman laut di seluruh negara dan seperti di Pulau Redang terdapat 13 pulau kecil telah diwartakan sebagai taman laut. Namun masih ada 20 buah pulau lagi yang sesuai untuk diwartakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran semaian 501 ranting karang di Pusat Taman Laut Pulau Redang anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama JTLM dan Universiti Malaysia Terengganu di sini, malam Rabu.

Abdul Jamal berkata di seluruh negara terdapat kira-kira 800 buah pulau yang sesuai diwartakan sebagai taman laut.

Sementara itu beliau berkata pihaknya merekodkan 352 kes pencerobohan taman laut sepanjang 2003 hingga 2009 manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 34 kes pencerobohan dicatatkan.

"Kes-kes pencerobohan melibatkan pukat tunda dan pukat jerut iaitu menangkap ikan di kawasan taman laut, kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dan akan mengheret mereka ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata jabatan itu telah membina menara kawalan bagi mengawasi dari aktiviti pencerobohan dan keselamatan pelancong.

Beliau berkata untuk fasa pertama dua menara kawalan dibina iaitu di Pulau Paya (Kedah) dan di Taman Laut Pulau Redang di sini.

"Kita akan bina menara kawalan itu pada fasa-fasa akan datang di setiap pulau pusat taman laut dan ia bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain