suria

Empat Rakyat Filipina Ditahan Polis

RANTAU PANJANG: Polis menahan empat rakyat Filipina kerana disyaki melarikan beg tangan seorang wanita di Pusat Perkedaian Baru Rantau Panjang, di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim berkata mereka yang ditahan terdiri dari dua wanita dan dua lelaki yang berumur antara 33 dan 40 tahun dan kesemuanya boleh berbahasa Melayu.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa sedang berniaga di dalam kedainya sebelum didatangi keempat-empat suspek berkenaan yang bertanya mengenai harga barang-barang di dalam kedai terbabit," katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas 15 minit kesemua mereka beredar daripada kedai itu tanpa membeli barangan dan mangsa kemudian mendapati beg tangannya yang mengandungi dokumen, wang tunai RM300 serta beberapa barangan kemas telah hilang. "Menyedari beg tangannya lesap, mangsa bergegas keluar dan mendapati seorang lelaki sedang memegang beg tangannya.

"Keempat-empat suspek meluru ke sebuah kereta Proton Perdana V6 yang terletak tidak jauh dari situ," katanya.

Beliau berkata mereka tidak sempat melarikan diri apabila orang ramai yang mendengar jeritan wanita itu mengejar mereka dan berjaya menahan keemoat-empat mereka sebelum menyerahkannya kepada polis.

Haliluddin berkata polis percaya terdapat seorang lagi suspek lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an terlibat dengan kejadian itu dan siasatan awal polis mendapati keempat-empat mereka dari Kuala Lumpur dan kereta yang digunakan itu adalah kereta sewa.

Beg wanita itu yang dicampak berhampiran sebuah van ketika mereka melarikan diri, berjaya ditemui semula, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain