suria

Melaka Galak Remaja Mampu Supaya Kahwin Awal

MELAKA: Sidang Dewan Undangan Negeri, Rabu, diberitahu, Majlis Agama Islam Melaka (Maim), telah meluluskan dua resolusi iaitu menggalakkan remaja yang berkemampuan berkahwin awal dan membenarkan pelajar mengandung meneruskan persekolahan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, resolusi Maim bertarikh 18 Mei lepas itu adalah satu rumusan untuk mengatasi gejala sosial di kalangan remaja Melayu di negeri itu.

"Ibu bapa perlu menerima hakikat ini, sekiranya kalangan remaja yang mempunyai nafsu luar biasa untuk bernikah, kita kahwinkan dia dan jangan tahan," katanya menjawab soalan Chua Kheng Hua (BN-Bemban) mengenai indeks jenayah di negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Rabu.

Beliau berkata resolusi Maim itu adalah rumusan bengkel sosial untuk menangani gejala sosial di kalangan remaja dan bagi remaja yang ingin berkahwin awal melakukan demikian selepas menjalani sesi kaunseling.

"Ini untuk mengelakkan maksiat kerana cara halal ini (berkahwin) lebih baik daripada melakukan perbuatan haram iaitu seks di luar nikah," katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 112 kes rogol dilaporkan pada tahun lepas dan 40 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini manakala bagi kes buang bayi, satu kes pada tahun lepas dan tiga kes dari Januari hingga Jun tahun ini.

Mohd Ali berkata, kebanyakan kes rogol melibatkan remaja Melayu dan pada awalnya adalah perbuatan "suka sama suka" sebelum ia diketahui oleh ibu bapa gadis yang terlibat dan membuat laporan polis.

Dewan yang bersidang sejak tiga hari lepas ditangguh kepada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Artikel Lain