suria

Lelaki Baru Bebas Dari Pusat Pemulihan Simpang Renggam Maut Ditetak

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang baru sebulan dibebaskan dari Pusat Pemulihan Simpang Renggam maut selepas ditikam berulang kali dan ditetak di bahagian muka serta putus tangan kirinya dalam satu kejadian di Telok Menegon, Seksyen 36, di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP, Noor Azam Jamaluddin berkata dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, V. Vitirajan, 36 dan seorang rakan sedang menunggu keretanya dibaiki apabila diserang empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang.

"Mangsa ditetak di bahagian tangan kiri sehingga putus sebelum dia melarikan diri ke arah sebuah klinik desa berhampiran untuk menyelamatkan diri, manakala rakannya lari ke belakang bengkel.

"Tiga daripada lelaki bertopeng mengejar mangsa dan terus menyerang mangsa yang sedang berlari dengan berlumuran darah, sementara seorang lagi suspek pergi ke sebuah kereta yang kemudiannya dijadikan kenderaan untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Vitiran turut ditikam beberapa kali di bahagian badan sebelum mukanya ditetak sehingga terbelah, kata Noor Azam.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam yang dipercayai bernombor pendaftaran palsu.

Polis katanya, masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia akibat dendam kerana rakan Vitiran tidak diapa-apakan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta orang ramai serta saksi kejadian tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Sementara itu seorang jururawat yang enggan dikenali berkata dia terdengar suara orang menjerit dan melihat beberapa orang sedang berlari menuju ke klinik tersebut.

"Saya terkejut dan mengunci pintu sebelum nampak seorang lelaki diserang bertubi-tubi dengan parang sehingga menyebabkan bahagian hidung hingga bawah dagu mangsa hampir terkoyak," katanya.

Pemilik bengkel, Y. Thinagaran, 49, berkata kejadian berlaku dengan pantas menyebabkan dia tergamam dan hanya mampu melihat Vitiran diserang.

"Saya sedang berada di bawah kereta mangsa yang sedang diselenggara malah hampir siap, tetapi tiba-tiba saya dengar bunyi lelaki menjerit kesakitan dan sebaik keluar dari bawah kereta nampak mereka telah bertempiran lari," katanya yang pertama kali melihat kejadian ngeri seperti itu. - BERNAMA

Artikel Lain