suria

IZO Akan Ditubuhkan Penghujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Antarabangsa (IZO) bagi membantu negara-Islam yang dibelenggu kemiskinan dijangka akan menjadi kenyataan selewat-lewatnya penghujung tahun ini selepas mendapat persetujuan sekurang-kurangnya lima negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha terhadap penubuhan IZO sedang dijalankan dalam 'Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Negara-Negara Anggota OIC: Ke Arah Penubuhan IZO' yang bermula hari ini sehingga esok di ibu negara.

Beliau berkata, sekiranya mesyuarat tersebut berjaya mencapai satu konsensus atau kesepakatan, kerajaan melalui kerjasama Wisma Putra akan dapat melaksanakan IZO secara menyeluruh.

"Dengan penubuhan IZO, dana serta sumbangan zakat yang diperoleh daripada negara-negara anggota OIC dapat disalurkan secara terus kepada negara-negara Islam yang miskin di seluruh dunia.

“Sehingga kini 23 buah negara OIC telah menunjukkan minat terhadap penubuhan IZO namun perjanjian bagi memuktamadkan Article of Agreement (AA) akan diketahui dalam tempoh sebulan selepas persidangan OIC terhadap penubuhan IZO selesai.

“Selepas penubuhan IZO kita akan memulakan perancangan kutipan dana bagi mengerakkan sekretariat ini. Pihak sekretariat juga telah mengenalpasti institusi kewangan dunia Islam yang dapat membantu dalam bidang pelaburan yang difikirkan sesuai dan pengagihan dana itu bakal merentasi sempadan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat penubuhan IZO di Hotel Legend pada Selasa.

Menurut Jamil Khir, fokus utama IZO adalah mendekati kelompok individu yang mempunyai rangkaian perniagaan terbesar di dunia dan menjangkau berbilion ringgit dengan harapan zakat daripada mereka boleh membantu umat Islam di seluruh dunia.

Sehubungan itu, sekretariat sementara IZO yang berpusat di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur dengan bantuan syarikat-syarikat pengurusan aset dan institusi perbankan Islam antarabangsa akan mengenal pasti hartawan-hartawan Islam untuk membantu memberikan dana yang diperlukan.

“Buat masa sekarang kita digerakkan melalui geran AS$1 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang telah ditubuhkan sejak lima tahun lalu,” katanya.

Tegasnya, penubuhan IZO tidak akan menggugat pengurusan institusi zakat di mana-mana negara OIC yang terlibat.

“Perkara ini harus diberi penekanan yang jelas, IZO mempunyai fokus yang berbeza.

“Fokus kita dengan pengurusan zakat di mana-mana negara OIC mahupun peranan Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Jamil Khir juga berharap usaha penubuhan IZO itu akan mendapat reaksi positif daripada 23 negara yang hadir pada mesyuarat itu antaranya Pakistan, Syria, Libya, Algeria, Turki, Sudan, Iran, Pakistan, Uganda dan Kazakhstan.

IZO telah diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi OIC di Sidang Kemuncak Khas di Mekah pada 2008.

Beliau telah mencadangkan supaya diwujudkan satu dana khas berasaskan zakat bagi menangani isu kemiskinan di kalangan negara-negara anggota OIC.

Cadangan itu disenaraikan dalam Rancangan Kerja 10 tahun OIC.

Objektif utama penubuhan IZO sebagai satu mekanisme untuk memajukan ekonomi serta meningkatkan kesedaran dalam pengurusan zakat secara berkesan di kalangan negara-negara anggota OIC.

Artikel Lain