Elak Keluar Surat Sokongan Berunsur Perniagaan - Khalid Ibrahim - Semasa | mStar

Elak Keluar Surat Sokongan Berunsur Perniagaan - Khalid Ibrahim

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menasihati semua pemimpin di negeri ini supaya mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan berunsur perniagaan.

Beliau berkata hal berkenaan ditujukan kepada semua pemimpin termasuk wakil rakyat, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak timbulnya konflik kepentingan serta boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

"Satu surat pekeliling akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dalam masa terdekat berhubung saranan ini dan kita minta semua pemimpin mengambil perhatian terhadapnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata surat sokongan bagi tujuan untuk mendapatkan bantuan kebajikan amat digalakkan terutamanya bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

"Surat sokongan seperti anak mahu masuk universiti, orang susah untuk dapatkan bantuan dan bantuan untuk warga emas amat dialu-alukan," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, Datuk Bandar, Yang DiPertua PBT dan agensi kerajaan diminta untuk mengumpul semua surat sokongan yang telah dikeluarkan oleh semua pemimpin untuk diaudit dan dinilai keberkesanannya.

Sementara itu, Abdul Khalid meminta supaya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyelaraskan tarif air bagi meter individu dan meter pukal untuk membolehkan pengguna di Selangor menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan caj yang sama.

Beliau berkata pada masa ini, Syabas mengenakan caj yang berbeza mengikut jenis meter iaitu bagi meter individu, setiap 20 meter caj dikenakan ialah RM11.40, RM16 untuk pengguna meter pukal bagi pangsapuri kos rendah dan RM27 (pangsapuri bukan kos rendah).

"Kita berpendapat perbezaan tarif air mengikut jenis meter tidak patut berlaku dan akan mengadakan rundingan bersama pihak Syabas agar tarif perkhidmatan air diselaraskan untuk semua," katanya.

Abdul Khalid berkata perbezaan tarif mengikut jenis meter ini dikenal pasti ketika Kerajaan Negeri sedang memperluaskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan kepada penghuni rumah kos rendah yang mengggunakan meter pukal.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan sistem kupon air percuma bagi memastikan penduduk kediaman bertingkat jenis kos rendah turut menikmati kemudahan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan

Messi gantung but 2021?