suria

Ahli Perniagaan Islam Boleh Kurangkan Salah Tanggapan Tentang Islam - Titah Raja Nazrin

LONDON: Ahli perniagaan Islam, khususnya yang berhasrat menceburi pasaran Barat, boleh mengurangkan tanggapan salah tentang Islam dengan memperlihat kualiti warga bertanggungjawab dalam masyarakat setempat masing-masing, kata Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Beliau berkata mereka boleh meraih rasa hormat dan kepercayaan dalam pasaran dan pada masa yang sama memperkukuh jenama mereka, meningkatkan kesetiaan pelanggan dan menambah baik hubungan mereka dengan masyarakat setempat.

"Ada empat motivasi bagi syarikat mengamalkan tanggungjawab sosial korporat, iaitu reputasi, lesen untuk beroperasi, tanggunjawab moral dan kemampanan," katanya pada Forum Penjenamaan dan Pemasaran Cara Islam Global Oxford yang julung kali diadakan di sini, Selasa.

Dalam ucaptamanya, Nazrin berkata umat Islam yang merupakan 23 peratus daripada penduduk dunia dengan pasaran bagi produk patuh syariah bernilai lebih US$2 trilion, semakin berkembang menjadi suatu kuasa ekonomi.

Ekoran itu, bilangan pengguna Islam yang semakin besar dan kuasa membeli mereka yang semakin meningkat telah membuka peluang perniagaan yang sangat luas bagi umat Islam dan bukan Islam, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain