suria

Ramai Rakyat Malaysia Ditahan Di Luar Negara Kerana Dadah, Kad Kredit Palsu

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang ditahan atau dikenakan hukuman mati di luar negara adalah kerana melakukan kesalahan penyeludupan dadah dan menggunakan kad kredit palsu.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, kes penyeludupan dadah mencatatkan sebanyak 756 kes atau 50 peratus daripada jumlah kes manakala penggunaan kad kredit palsu pula adalah sebanyak 195 kes.

Katanya, kes jenayah komersial pula sebanyak 87 kes selain kes-kes seperti mencuri, penyeludupan manusia, imigresen dan menggunakan senjata api.

Kebanyakan pesalah yang ditangkap pula berumur 20 hingga 35 tahun, katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar mengenai kesalahan yang sering dilakukan oleh mereka yang ditahan di luar negara.

"Sindiket yang menggunakan anak-anak muda kita, sindiket 'Pak Arab' dan 'Pak Hitam' ini, mereka mempunyai sasaran tertentu dalam mendapatkan anak-anak muda kita supaya boleh melakukan aktiviti seperti ini.

"Mereka melihat kepada golongan muda yang tidak mempunyai rekod jenayah, kerana kalau ada rekod jenayah, mereka ini erkemungkinan akan ditahan lebih awal," katanya.

Kohilan berkata, orang kelainan upaya (OKU) juga tidak terlepas menjadi sasaran sindiket ini selain golongan wanita yang tidak mudah disyaki membawa dadah dan mudah disuruh berbuat apa saja berbanding kaum lelaki.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam apa jua urusan perundangan negara tuan rumah tetapi hanya akan membuat rayuan sekiranya diminta oleh keluarga atau pesalah terbabit untuk meringankan hukuman yang dikenakan oleh undang-undang kerajaan negara berkenaan.

"Mengenai kes Yong Vui Kong, hukuman gantung dijadualkan pada 4 Disember 2009 tapi ditangguhkan sehingga mendapat arahan Presiden Singapura. Dalam hal ini, Malaysia memohon untuk merayu apabila ibu bapa pesalah memohon kepada kerajaan.

"Adakalanya hukuman bejaya dikurangkan dan adakalanya kerajaan negara itu tidak endah dengan rayuan kami. Seperti kes Raja Munirah di Jepun dan Umi Hazlin di Guangzhou, China di mana hukuman dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Kohilan berkata, jumlah terkumpul rakyat Malaysia yang masih dipenjarakan di luar negara setakat ini ialah seramai 1,490 orang dan daripada jumlah tersebut seramai 70 orang rakyat Malaysia telah dijatuhkan hukuman mati mandatori di luar negara.

Katanya, negara-negara yang mengenakan hukuman mati mandatori adalah Singapura, China, Thailand dan Indonesia.

Selain itu, jumlah rakyat Malaysia yang telah dijatuhkan hukuman mati di negara-negara itu ialah seramai 29 orang di Singapura, 19 orang di China, 21 orang di Thailand dan seorang di Indonesia.

Ketika sidang media, Kohilan berkata jumlah wanita yang ditahan di Peru, Amerika Selatan amat membimbangkan kerana 13 daripada 15 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara kerana kesalahan penyeludupan dadah adalah pesalah wanita.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai perlu berhati-hati apabila keluar negara dengan memastikan mereka tidak membawa beg atau barangan orang lain terutamanya orang yang baru dikenali tanpa mengetahui isi kandungannya kerana ia akan menimbulkan masalah kepada mereka kelak sehingga menjadi 'keldai dadah'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain