suria

Pak Lah Gesa Pihak Berkuasa Segera Selesaikan Isu Pasir

KUALA LUMPUR: Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa meluahkan rasa kecewa kerana tidak ada sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan isu perlombongan pasir di Selangor.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, pihak berkuasa yang berkenaan sewajarnya bertindak dan mengambil langkah perlu bagi menyelesaikan segera isu tersebut.

"Pihak penguatkuasa patut menghentikannya. Terdapat banyak lori yang diletak sepanjang tepi jalan dan mereka (pihak penguatkuasa) boleh memberhentikan lori-lori ini dan bertanya kepada mereka di mana mereka ambil pasir.

"Daripada situ mereka boleh tahu dan ambil tindakan sewajarnya," kata beliau semasa menyampaikan ucaptama di seminar mengenai alam sekitar di sini.

Abdullah merujuk kepada aktiviti perlombongan pasir di Selangor yang kini menjadi kontroversi dan menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan berkenaan alam sekitar kerana kegiatan menggali yang tidak terkawal boleh menjejaskan alam sekitar.

Abdullah juga meluahkan kebimbangan terhadap kerosakan alam sekitar di negara ini khususnya yang disebabkan aktiviti pembalakan dan pencemaran sungai kerana ia boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat.

"Terdapat terlalu banyak kegiatan pembalakan dan di sesetengah kawasan sekarang sudah tidak ada pokok. Kebanyakan sungai kita juga sudah menjadi sungai mati, airnya tidak boleh digunakan lagi dan ini menyebabkan kita hilang sumber air," katanya.

Justeru kata Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, usaha melindungi alam sekitar harus menjadi tanggungjawab semua orang yang tinggal di negara ini.

Dalam ucapannya itu bekas Perdana Menteri juga berkata perkara tersebut dinyatakan dengan jelas di dalam kitab suci al-Quran.

"Allah mengingatkan manusia supaya bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kelestarian hidupan lain di dunia ini. Terdapat banyak surah dalam al-Quran yang boleh dirujuk berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata di dalam Islam, penggunaan sumber asli adalah hak semua orang dan spesis.

"Justeru, kita sewajarnya mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan hak dan kepentingan pihak lain tidak terjejas kerana mereka juga adalah rakan kongsi kita di dunia ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain