suria

Menara Kawalan Dibina Pantau Keselamatan Pelancong Di Taman Laut

LANGKAWI: Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) hari ini melancarkan dua menara kawalan di Pusat Taman Laut Pulau Payar dekat sini dan di Pulau Redang, Terengganu untuk memantau keselamatan pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan.

Ketua Pengarah JTLM, Abd Jamal Mydin berkata setiap menara kawalan akan dikawal oleh empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bersama beberapa kakitangan JTLM.

"Objektif utama pembinaan menara ini ialah untuk mengawasi keselamatan pelancong yang menjalankan kegiatan seperti snorkel dan skuba di Taman Laut," katanya kepada pemberita di Pulau Payar, Isnin.

Beliau berkata pembinaan menara dengan anggaran kos kira-kira RM15,000 setiap satu juga untuk membolehkan amaran awal diberikan jika berlaku kecemasan atau bahaya akuatik.

Abd Jamal berkata empat lagi menara kawalan dirancang untuk dibina iaitu di Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tioman, Pahang, Pulau Tinggi, Johor dan Pulau Kuraman di Labuan.

Setiap tahun hampir setengah juta pengunjung datang ke pulau-pulau Taman Laut di seluruh negara iaitu di gugusan Pulau Tioman yang mempunyai sembilan buah pulau, Pulau Payar (empat pulau), Pulau Redang (13 pulau), Pulau Tinggi (13 pulau) dan Pulau Kuraman (tiga pulau).

Di Pulau Payar sahaja, sebanyak 96,071 pelancong telah berkunjung sepanjang 2008 manakala pada 2009 sebanyak 102,866 pelancong.

Namun Abd Jamal berkata, mulai 2 Julai hingga 31 Oktober ini, kemasukan pelawat ke Pulau Payar dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu kepada 200 orang sahaja sebagai langkah mengawal pembiakan terumbu karang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain