suria

Lebih 8,000 Pendatang Tanpa Izin Ditangkap Sejak Jan Hingga Mac Lepas

KUALA LUMPUR: Bagi tempoh Januari hingga Mac lepas, seramai 8,604 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap dan seramai 7,418 pula dihantar pulang ke negara masing-masing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata bagi tempoh 2001 hingga tahun lepas, kerajaan telah menghantar pulang 555,862 pendatang tanpa izin sementara jumlah yang ditangkap pula ialah 391,785 orang.

Tangkapan itu dibuat Jabatan Imigresen serta pihak penguatkuasa lain seperti polis, katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin di persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Lee berkata bagi mengatasi masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini, kerajaan mewujudkan dua peringkat pengawalan iaitu sebelum memasuki negara dan setelah berada di negara ini.

Bagi kategori pertama, kerajaan mengawal ketat pintu-pintu masuk negara dan memastikan pelawat asing mempunyai tiket pulang ke negara mereka, selain mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai perbelanjaan mereka sepanjang berada di sini.

Selain itu, pihak berkuasa juga mempertingkatkan pengawasan perairan negara terutama di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan bot-bot haram yang membawa masuk pendatang tanpa izin, katanya.

Bagi kategori kedua, Lee berkata kerajaan menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan seperti polis, Rela dan pihak berkuasa tempatan bagi mengesan warga asing yang melanggar peraturan negara.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata anggaran 1.9 juta pendatang tanpa izin dibuat berasaskan pengiraan bagi seorang pendatang tanpa izin bagi setiap pendatang yang masuk secara sah.

"Kita tidak boleh tahu dengan tepat jumlah pendatang asing tanpa izin kerana kerajaan tidak ada mekanisme untuk mengesan mereka memandangkan kemasukan mereka adalah secara tidak sah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain