suria

Kerajaan Selangor Peruntuk RM15 Juta Untuk Sebar Maklumat Lebih Tepat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM15 juta untuk menyebar maklumat dengan lebih tepat kepada rakyat mengenai pelbagai bantuan yang diberikan oleh negeri ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Isnin.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mempertingkat pemahaman rakyat terhadap dasar-dasar dan program negeri, terutama Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada pengguna Selangor dan 'Skim Mesra Usia Emas'.

"Pemahaman rakyat tentang bantuan yang diberikan oleh negeri masih rendah oleh kerana perkara itu tidak mendapat publisiti meluas dan liputan seimbang dalam media arus perdana.

"Sesetengah mereka menganggap air percuma 20 meter padu (sebulan) datang dari kerajaan persekutuan. Oleh itu Kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta untuk mempertingkat penyampaian maklumat demi membetulkan persepsi sedemikian," katanya. Beliau berkata jumlah itu merupakan satu peratus dari jumlah hasil kerajaan negeri dianggarkan RM1.5 bilion.

"Jika kita ambil kira populasi 5.2 juta di Selangor, amaun ini (RM15 juta) bersamaan RM3 dari setiap orang," Khalid memberitahu pemberita selepas merasmikan sesi dialog Bajet Negeri 2011 selama dua hari anjuran Perbendaharaan Selangor di sini.

Khalid berkata maklumat akan disebarkan menerusi media milik negeri iaitu TV Selangor, portal Selangor Kini dan akhbar Selangor Kini.

Sementara itu, Khalid berkata kerajaan negeri akan terus melaksanakan Belanjawan Seimbang bagi 2011 demi menentukan perbelanjaan mengurus berpadanan dengan hasil yang dijangka dikutip bagi tahun berkenaan.

"Kita tidak mempunyai bajet defisit oleh kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa meminjam wang bagi membiayai perbelanjaan besar.

"Kami mahu setiap ringgit memberikan kita nilai terbaik dalam perbelanjaan kita," kata beliau.

Bajet 2011 Selangor akan dibentangkan oleh Khalid di sidang dewan negeri pada November.

Tahun lepas, Khalid membentangkan bajet seimbang 2010 dengan RM1.3 bilion untuk perbelanjaan dan RM1.3 bilion pendapatan.

Di bawah Bajet 2010, RM709.6 juta atau 54.58 peratus diperuntukkan bagi belanja pentadbiran dan RM590.4 juta atau 45.42 peratus untuk pembangunan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain