suria

Jumlah Kes Penipuan Jualan Langsung Berkurangan

KUALA LUMPUR: Jumlah kes penipuan jualan langsung yang diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada lima bulan pertama tahun ini berkurangan iaitu hanya 14 kes dengan rampasan bernilai RM330,173 berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu hampir 30 kes.

Pengarah Kanan Bahagian Perdagangan Dalam Negeri KPDNKK, Datuk Ismail Ahmad berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 60 kes diambil tindakan dengan nilai rampasan RM1,703,301.

"Penurunan ini berikutan tindakan tegas kementerian dalam menangani isu berkenaan," katanya ketika ditemubual dalam rancangan 'Kerusi Panas' terbitan Bernama Radio24.

Ismail berkata, dahulu mangsa penipuan jualan langsung hanya terdiri daripada suri rumah dan golongan miskin di luar bandar tetapi kini golongan berpendidikan tinggi turut menjadi mangsa.

"Taktik yang digunakan oleh sindiket jualan langsung amat tersusun hingga dapat menarik perhatian orang ramai melalui tawaran hadiah lumayan seperti pakej melancong, kereta mewah di samping ganjaran komisen yang tinggi," katanya.

Mengulas mengenai pindaan terhadap Akta Jualan Langsung 1993 yang sedang dibahaskan di Dewan Negara, Ismail berkata, ia bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan skim piramid.

Beliau berkata, usaha meminda Akta Jualan Langsung 1993 bermula sejak 2003 lagi, namun apabila ingin dibawa ke Jemaah Menteri pada 2007, beberapa perkara baru telah muncul seperti penipuan melalui Internet dan elektronik serta perlindungan kepada pemberi maklumat yang tidak ada sebelum ini.

"Dahulu tafsiran mengenai skim piramid ini agak longgar sehingga menyebabkan sindiket berkenaan tidak dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Kini akta ini diperkemas agar ia meliputi lebih banyak perkara termasuk perniagaan secara dalam talian," tambah beliau. Menurut Ismail, KPDNKK komited dalam menggalakkan pertumbuhan industri jualan langsung kerana ia memberi sumbangan besar kepada negara.

Tahun lalu saja, katanya, nilai perniagaan jualan langsung adalah RM4.5 bilion dan ia dijangka mencapai jumlah RM5.5 bilion tahun ini.

"Kementerian menyasar nilai industri berkenaan meningkat kepada RM6.2 bilion tahun depan dan RM7.0 bilion pada 2012," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain