suria

Dua Remaja Dihantar Ke Sekolah Pemulihan Akhlak Kerana Merompak

KUALA LUMPUR: Dua remaja hari ini diperintah menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah merompak seorang pelancong asing, awal bulan ini. Hakim Ahmad Kamar Jamaludin memutuskan remaja lelaki berusia 19 tahun itu dihantar ke sekolah Henry Gurney, Melaka, selama dua tahun manakala rakannya berusia 16 tahun ke Sekolah Tunas Bakti, Jerantut, Pahang, selama tiga tahun.

Kedua-dua sahabat itu didakwa meragut dua utas rantai leher emas bernilai RM3,500 milik pelancong New Zealand, Franches Highted, di tingkat sembilan, Hotel Federal, Jalan Bukit Bintang, di sini, pada pukul 8.30 malam, 3 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon agar hukuman ke atas mereka diringankan kerana menyesali perbuatan yang dilakukan.

Ahmad Kamar turut menegur kedua-dua remaja berkenaan agar berubah menjadi insan berguna memandangkan mereka masih muda dan mempunyai perjalanan hidup yang masih jauh. "Kamu masih muda, mengapa berani sangat lakukan perkara begini, sekarang adalah masa untuk belajar, menimba ilmu, kalau tidak minat dengan akademik pun sekurangnya belajar kemahiran, kalau minat motor, boleh belajar jadi mekanik dan buka bengkel suatu hari nanti," katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain