suria

Dua Dihukum Denda RM3,000 Sertai Perhimpunan Haram Pijak Kepala Lembu

SHAH ALAM: Dua lelaki terlibat dalam kejadian membawa dan memijak kepala lembu dalam perhimpunan haram bagi membantah perpindahan kuil di Seksyen 21, di sini pada tahun lepas dihukum denda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap Eyzva Ezhar Ramly, 32, yang mengaku salah membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir Mohd Zain, 36, mengaku salah bagi tuduhan memijak kepala lembu tersebut.

Hasbi turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda sementara Eyzva Ezhar turut dijatuhkan hukuman hukuman penjara selama seminggu bagi kesalahan itu.

Bagaimanapun, tempoh hukuman penjara hanya akan bermula pada 4 Ogos ini memandangkan Eyzva Ezhar kini sedang menjalani hukuman penjara selama 10 bulan di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan, bagi kesalahan memiliki dadah.

Hukuman itu akan tamat pada tarikh tersebut.

Hasbi yang menggunapakai Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah kemudiannya melepas tanpa membebaskan Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 37, Ibrahim Sabri, 44, Ahmad Suhairy Zakaria, 31, dan Mohd Hilmi Ni, 41, daripada tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana didakwa membawa dan memijak kepala lembu.

Mereka dan Eyzva Ezhar serta Mohd Azmir bersama enam lagi bagaimanapun turut dihukum denda RM1,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu sebagai ahli perhimpunan haram yang bertujuan melakukan mudarat awam.

Enam lagi yang mengaku salah mengambil bahagian dalam perhimpunan itu ialah Jainuddin @ Zainuddin Md yusuff, 68, Mohd Jurit Ramli, 40, Mohamad Nordin Zakaria, 47, Jamil Mohd Isa, 41, Rahimuddin Md Harun, 40, dan Azhari Shaari, 40 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan pada pukul 2.30 petang, 28 Ogos 2009 di hadapan Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Pagar Utama (Pintu 1) di sini dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada penghakimannya, Hasbi menasihatkan tertuduh supaya lebih prihatin dan tidak bertindak terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara di masa akan datang.

“Dalam situasi ini, Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan sensitiviti kaum perlu dijaga. Saya berharap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada tertuduh supaya lebih prihatin dan tidak melakukan kesalahan seperti ini,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff manakala peguam Afifuddin Hafifi dan Ahmad Bakhtiar Hamdan mewakili barisan pembelaan.

Fakta kes menyatakan, perhimpunan haram itu disertai sekumpulan lelaki yang menuju ke pintu utama untuk menyampaikan memorandum bantahan pembinaan kuil dan ada di antara mereka yang membawa kepala lembu dan sepanduk.

Kepala lembu itu diletakkan di hadapan pagar dan beberapa orang dilihat memijak kepada lembu sambil gambar mereka diambil dan berdasarkan gambar, beberapa tertuduh telah dikenal pasti.

Perhimpunan itu juga telah menyebabkan gangguan awam di sekitar masjid berhampiran dan jalan masuk dan 92 laporan polis dibuat bagi menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap insiden tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain