suria

Tujuh Lagi Kematian Akibat Denggi Dalam Tempoh Seminggu Lepas: Liow Tiong Lai

SUNGAI PETANI: Tujuh lagi kematian akibat denggi dilaporkan dalam tempoh seminggu sehingga Sabtu lepas menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 91 orang sejak Januari tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jumlah itu adalah kes kematian tertinggi dilaporkan berlaku dalam tempoh seminggu sepanjang tahun ini.

"Bagi tempoh 18 Julai hingga 24 Julai itu juga sebanyak 1,071 kes denggi dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 27,400 kes setakat semalam," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

"Jumlah kematian ini majoritinya orang dewasa," kata Liow yang mengulangi kebimbangannya mengenai peningkatan kes kematian tahun ini berbanding hanya 88 kes sepanjang tahun lepas.

Peningkatan kes itu menunjukkan orang ramai masih tidak mengambil berat akan penularan demam denggi serta mengabaikan aspek kebersihan, katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke rumah penghidap demam denggi juga mendapati hampir 80 peratus mempunyai jentik-jentik dan tempat pembiakan nyamuk.

Mengulas lanjut, Liow berkata, sebanyak 34 kawasan panas dikenal pasti iaitu 17 di Selangor, enam masing-masing di Johor dan Kuala Lumpur, serta lima di Sarawak.

Kebanyakannya di kawasan bandar terutama kawasan perumahan dan kementerian akan mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk memperbanyakkan gotong-royong di kawasan panas.

Sementara itu, mengulas isu berlainan, Liow berkata, jumlah penderma organ di negara ini masih rendah menyebabkan ramai pesakit melakukan pemindahan organ di luar negara.

"Pada tahun lepas cuma 39 orang mendaftar sebagai penderma jantung manakala buah pinggang 18 orang. Kerajaan berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil menjadi perderma," katanya.

Kata beliau, penghidap penyakit buah pinggang merupakan pesakit organ teramai di negara ini iaitu 20,000 orang dan separuh daripada mereka memerlukan buah pinggang baru. - BERNAMA

Artikel Lain