suria

RM2.4 Juta Untuk Program Pemulihan Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan

TEMERLOH: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta di bawah Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan untuk tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memastikan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah mencapai pertumbuhan optima di samping meningkatkan taraf kesihatan mereka.

"Pada tahun 2000 hingga 2009 terdapat 130,888 kes kanak-kanak kekurangan zat makanan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu 53,229 kes telah diberikan bantuan makanan dan 24.3 peratus daripada mereka berjaya dipulihkan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Penderas dekat Kuala Krau, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Ahmad Shafii Saidin.

Rosnah berkata, pada tahun 2009 sahaja seramai 2,882 kanak-kanak menerima bantuan makanan di Semenanjung iaitu 45.9 peratus daripada mereka adalah anak-anak Orang Asli.

"Status pemakanan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di negara ini keseluruhannya keseluruhannya berada pada tahap yang baik iaitu 93 peratus dan mempunyai berat badan yang normal," katanya.

Rosnah berkata, mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu bagi sesebuah negara membangun, peratusan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang mempunyai berat badan normal mestilah melebihi 90 peratus.

Katanya, Kementerian Kesihatan akan terus menyalurkan bantuan kepada pihak yang layak dan memerlukan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk melihat generasi sihat dan cemerlang, berjaya dicapai.

Kementerian telah menjalankan pelbagai aktiviti dan promosi kesihatan dan Kempen Cara Hidup Sihat, namun jika sehebat manapun promosi dan pendidikan kesihatan dijalankan, ianya tidak akan menepati sasaran jika orang ramai tidak bersama-sama melakukan perubahan diri, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Lain