suria

Pemandu Bot Pelancong Tidak Nampak Bot PGA Ada Di Depan, Kata Polis

KUALA TERENGGANU: Pemandu bot yang membawa pelancong bersiar-siar di Pulau Perhentian Besar tengah hari Sabtu lepas, dipercayai tidak nampak bot Pasukan Gerakan Am (PGA) Unit Komando 69 di depannya sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata siasatan awal polis mendapati pemandu bot pelancong itu tidak dapat mengelak lalu merempuh bot PGA yang dikatakan tiba-tiba muncul di hadapan mereka.

"Siasatan awal mendapati bot pelancong berkenaan yang melanggar bot PGA. Bila disoal, pemandunya berkata dia tidak nampak ada bot komando di depan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Kamaruddin berkata pemandu bot pelancong itu, Nik Kamal Mat Ira, 40, memberitahu, ketika kejadian pelancong berkenaan sedang asyik bergambar dan mengambil gambar keindahan pemandangan laut dalam cuaca cerah.

Dalam perlanggaran berhampiran Teluk Kay Kay, Pulau Perhentian Besar itu, tiga pelancong wanita dari China dikenali sebagai Zhang Yu, 27, Yu Zie, 29 dan Li Dan, 25, cedera parah, dan masih dirawat di hospital Univesiti Sains Kubang Kerian, Kota Baharu.

Tiga lagi pelancong China dan empat pelancong tempatan cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Daerah Besut.

Mereka ialah Chen Zia Wei, 28, (wanita), Yie Wen Yiung, 27, (lelaki), Zho Han Alexander, 33, (lelaki), Roslizawati Md Saad, 27, Zulbari A Halim, 34, dan dua lagi yang hanya dikenali sebagai Zainor dan Munawir.

Ketika kejadian, bot PGK Komando 69 yang dinaiki lima anggota itu sedang menjalani latihan. Seorang daripada komando terlibat cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. - BERNAMA

Artikel Lain