suria

Kastam Rampas Syabu Bernilai RM417,000 Dari Dua Lelaki Iran

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas dadah jenis syabu seberat 1,668.35 gram bernilai RM417,087 dalam dua kejadian berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia Mohd Subri Awang berkata dalam kejadian pertama, pegawai kastam menahan seorang lelaki warga Iran yang mencurigakan yang tiba dari Doha pada pukul 10.30 malam.

"Pemeriksaan mendapati warga Iran itu menyembunyikan enam bungkusan kecil dadah disyaki jenis syabu seberat 1,250 gram di dalam seluar dalam yang dipakainya. Nilai pasaran dadah itu dianggarkan RM312,500," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya sebelum itu pada pukul 10.30 pagi hari yang sama, pegawai kastam menahan seorang lagi lelaki warga Iran yang dalam penerbangan dari Doha.

Katanya walaupun pemeriksaan ke atas beg yang dibawanya tidak menjumpai apa-apa barangan yang bercukai, namun pegawai kastam menjumpai dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam tapak kasut yang dipakainya.

"Berat dadah itu ialah 418.35 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM104,587," katanya.

Kedua-dua suspek berumur lewat 20-an itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain