suria

Kadar Kebankrapan Malaysia Masih Kecil

KUALA LUMPUR: Setakat Mei 2010, sebanyak 215,577 kes kebankrapan yang didaftarkan dan seramai 80,348 individu diisytiharkan bankrap dari tahun 2005 sehingga Mei tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, kira-kira 40 peratus golongan bankrap mempunyai hutang dengan lebih daripada satu organisasi.

“Antara jenis hutang yang gagal dilunaskan mereka adalah sewa beli kereta, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan dan kad kredit.

“Dari 2005 dan Mei tahun ini, majoriti golongan bankrap adalah mereka berumur antara 35 dan 44 tahun,” katanya.

Bagaimanapun katanya, fenomena kebankrapan di negara ini masih tidak membimbangkan, namun langkah awal perlu dilaksanakan agar tidak menjejaskan ekonomi negara.

Daripada 80,348 yang diisytiharkan bankrap itu tidak mustahil untuk terus kekal bankrap jika gagal bekerjasama.

Menurut beliau, kadar kebankrapan amat kecil berbanding nisbah jumlah penduduk 28 juta orang, penduduk berumur 18 tahun ke atas dan mereka yang bekerja.

“Namun, bagi negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menjadikan kebankrapan itu sebagai kayu pengukur kedudukan ekonomi negara.

“Kebanyakan negara dunia juga mempunyai perundangan kebankrapan seperti Malaysia sebagai mekanisme untuk menguatkuasakan pembayaran hutang.” ujarnya.

Berdasarkan kes kebankrapan mengikut golongan umur dari tahun 2005 sehingga Mei 2010, majoriti adalah mereka berusia antara 35 dan 44 tahun iaitu 31.46 peratus. .

Abdul Karim berkata, negara masih melalui fasa pembudayaan untuk membayar hutang dan pelbagai mekanisme terus dipergiatkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Kebankrapan itu merupakan sesuatu yang realistik sehingga boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” ujarnya.

Artikel Lain