suria

Dua Pelancong Kejadian Bot Berlanggar Dibenar Pulang

KOTA BAHARU: Dua daripada empat pelancong China yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian semalam, dibenar keluar hari ini.

Pengarah HUSM, Datuk Zaidun Kamari berkata kedua-duanya dibenar pulang tengah hari tadi setelah keadaan mereka pulih.

Mereka dikenali sebagai Chen Jia Wei, 28, dan Xu Jie, 29.

Dua lagi masih menerima rawatan yang dikenali sebagai Zhang Yu, 29 dan Lee Tan, 25.

Kesemua mereka cedera apabila bot gentian kaca yang mereka naiki melanggar sebuah bot Pasukan Gerakan Am yang sedang melakukan latihan di Teluk Kay Kay, Pulau Perhentian Besar, Terengganu.

Kejadian berlaku pada waktu tengah hari semalam ketika enam pelancong dan empat rakyat tempatan termasuk pemandu bot berkenaan sedang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Besar menuju Pulau Perhentian Kecil untuk latihan menyelam apabila bertembung bot Komando 69 tersebut.

Yang turut cedera ialah tiga lagi penumpang bot serta seorang anggota polis yang dimasukkan ke Hospital Besut untuk menerima rawatan pesakit luar. - BERNAMA

Artikel Lain