suria

Sektor Peladangan Sabah Perlu Tingkatkan Produktiviti

SANDAKAN: Sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia dan pembekal keperluan lemak dan minyak dunia, sektor perladangan di Sabah perlu memberi perhatian serius untuk meningkatkan produktiviti.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata adalah penting bagi pemain sektor perladangan melaksanakan kaedah yang mampu meningkatkan pengeluaran sebagai sasaran jangka panjang untuk penambahan produktiviti.

Beliau berkata ini termasuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bahan baru bagi proses penanaman, mempercepatkan penanaman semula serta mengguna pakai amalan baik pertanian.

"Dalam jangka panjang, pelaksanaan kaedah ini akan memastikan bahan mentah dapat dibekalkan secara mantap sebagai nilai tambah bagi industri hiliran yang kian berkembang di negara ini," katanya pada majlis makan malam tahunan Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur (EMPA) di sini malam Sabtu.

Musa berkata Sabah kini adalah negeri terbesar yang menanam kelapa sawit dengan keluasan 1.33 juta hektar atau 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan penanaman di Malaysia. Beliau berkata dalam skop sektor perladangan, kelapa sawit merupakan tulang belakang yang menyaksikan pertumbuhan kawasan penanaman daripada 54,000 hektar pada 1960 kepada 4.7 juta hektar pada 2009, di seluruh negara.

Katanya kerja-kerja penjenteraan ladang perlu dipercepatkan bagi mengurangkan kebergantungan industri perladangan terhadap buruh asing.

"Kita mesti realistik dan bersedia menghadapi kekangan pada masa depan dalam mendapatkan bekalan buruh asing," katanya.

Sehubungan itu, Musa menggesa anggota EMPA supaya mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan keperluan buruh asing.

Beliau berkata sektor tersebut perlu bersedia memikat pekerja tempatan melalui penawaran gaji tinggi berdasarkan produktiviti, selain kemudahan lain yang lebih memuaskan. - BERNAMA

Artikel Lain