suria

Polis Patahkan Aktiviti Sabung Ayam Dan Judi Bola Golek

KUALA LUMPUR: Seramai 22 orang lelaki dan dua wanita Indonesia yang sedang leka menyabung ayam dan bermain judi bola golek, ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri Puchong dekat sini, Ahad.

Ketua Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap D7 Bukit Aman Supt Maszely Minhad berkata mereka ditahan dalam belukar, berdekatan rumah kongsi kira-kira pukul 1.30 petang.

"Mereka terdiri dari tujuh lelaki tempatan termasuk seorang dari Sabah, 15 lelaki Indonesia serta dua wanita Indonesia," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Maszely berkata tujuh daripada 15 rakyat Indonesia termasuk dua wanita berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kami turut merampas peralatan perjudian bola golek, tiga bilah taji ayam dan wang tunai RM15,571. Sebanyak 21 ekor ayam yang dirampas itu kami akan hantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain