suria

Kaedah Baru Tanggani Pornografi Di Internet

BATU PAHAT : Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan keperluan menapis bahan pornografi di internet sebagai 'perisai baru' untuk menangani gejala negatif itu yang semakin berleluasa.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian akan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu tanpa disalahertikan oleh mana-mana pihak yang kononnya mengagungkan kebebasan maklumat tanpa batasan di internet.

"Saya amat mengalu-alukan pandangan Tun (Dr Mahathir) kerana selama ini kami keseorangan dalam hal menyajikan maklumat di internet. Lebih ramai pemimpin menyuarakan hal ini, lebih mudah bagi kami.

"Dengan menggunakan tuntutan undang-undang (bagi menangani bahan pornografi), ada sahaja pihak yang cuba menyalahertikan. Sebenarnya, kita ada Seksyen 265, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mengenang Tokoh Negarawan Allahyarham Tun Hussein Onn di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) anjuran Arkib Negara di sini hari ini. Turut hadir pada program itu adalah balu Allahyarham Tun Hussein, Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah, isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Media baru-baru ini melaporkan Dr Mahathir menyuarakan pandangan supaya bahan pornografi di internet ditapis kerana dibimbangi menjadi punca berlaku peningkatan jenayah seksual.

Rais berkata perbincangan secara halus dan objektif akan diadakan bagi mencari mekanisme yang sesuai untuk menangani masalah itu supaya tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak sebagai menyekat kebebasan.

Beliau menjelaskan, jika sumber bahan pornografi itu dikesan diperoleh daripada pembekal perkhidmatan internet di dalam negara, pihak kementerian boleh mengambil tindakan namun buat masa ini tidak berkeupayaan menghalang penyebaran bahan itu yang dibekalkan dari luar negara.

"Perlu ada mekanisme dalaman supaya pornografi tidak jadi bahan yang meluas di internet. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya gejala ini dapat diatasi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain