suria

Jualan Murah: Peraturan Lebih Ketat Akan Dikuat Kuasa - Ismail Sabri

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menguatkuasakan pindaan peraturan berkaitan jualan murah yang lebih ketat bagi mengelakkan peniaga menipu pengguna terutama pada musim perayaan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peraturan yang bakal dikuatkuasakan sebelum Ramadan ini, antara lain, mensyaratkan peniaga mengemukakan senarai produk jualan murah dengan harga asal dan harga baru.

"Jumlah produk yang terlibat dengan jualan murah mestilah sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan produk yang terdapat dalam sesebuah premis perniagaan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kemuncak Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 di Dataran Pahlawan Megamall, Bandar Hilir, Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta dua Timbalan Menteri KPDNKK iaitu Datuk Rohani Abdul Karim dan Datuk Tan Lian Hoe.

Ismail Sabri berkata peniaga juga perlu mengemukakan notis jualan murah serta senarai berkaitan dalam tempoh 14 hari sebelum ia diadakan kepada pejabat KPDNKK negeri.

Sebelum ini, peniaga yang mahu mengadakan jualan murah hanya perlu mengemukakan notis jualan murah kepada pejabat tersebut.

"Oleh kerana mereka tidak menghantar senarai produk bersama harga asal dan harga baru, maka ada di kalangan peniaga mengambil kesempatan menipu pengguna, kononnya harga pada jualan murah lebih rendah daripada harga biasa, tetapi sebenarnya ia lebih mahal daripada harga asal," katanya.

Ismail Sabri berkata mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain pemantauan pegawai penguatkuasa kementeriannya, beliau meminta pengguna membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat mengenai peniaga yang melakukan penipuan melalui jualan murah.

Beliau juga berkata peniaga yang menipu pengguna dalam penggunaan sijil Halal, boleh dikenakan tindakan mengikut akta sama.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati pengguna supaya bijak berbelanja dan menguruskan kewangan dengan baik bagi mengelakkan mereka diisytiharkan muflis.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 41 tahun, diisytiharkan muflis di seluruh negara dalam tempoh 65 bulan sehingga Mei lepas, yang berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit serta pinjaman peribadi. - BERNAMA

Artikel Lain