suria

Dua Rakyat Bangladesh Maut Dihempap Jentera Berat

KUANTAN: Dua lelaki rakyat Bangladesh yang memandu jengkaut tanpa pengetahuan majikan mereka, maut selepas jentera berat itu terbalik ketika membuat pusingan 'U' di Km12, Jalan Lembah Bertam-Sungai Koyan, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, kedua-dua sahabat yang hanya dikenali sebagai "Mutus" dan "Kutas", masing-masing berusia 35 tahun, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Kalsom (HSHK), Cameron Highlands.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu berkata berdasarkan siasatan awal, jengkaut yang dipandu seorang daripada lelaki itu dipercayai terbalik ketika sedang membuat pusingan 'U' menghala ke Lembah Bertam.

"Kedua-dua mangsa terjatuh sebelum dihempap jentera itu dan mereka mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Wan Zahari berkata kejadian itu disedari seorang pemandu yang melalui kawasan terbabit dan polis terpaksa menggunakan khidmat kren bagi mengalih serta mengangkat jengkaut berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke HSHK untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan masih diteruskan berhubung motif sebenar mangsa memandu jengkaut terbabit di luar waktu bekerja," katanya.

Beliau berkata polis telah menghubungi Kedutaan Bangladesh untuk proses menghantar mayat mangsa pulang ke negara asal selepas bedah siasat selesai dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain