suria

Artis Dangdut Fitnah Wartawan

ORANG selalu kata wartawan suka buat cerita tak betul, cerita bukan-bukan, gosip murahan dan macam-macam lagi.

Di sini Niezam nak bagi tahu, semua gosip yang ditulis wartawan 99 peratus betul. Niezam pernah tulis satu gosip Mawi pergi beraya di rumah Ekin tak lama dulu.

Peminat Mawi telefon dan maki hamun Niezam. Dia orang kata surat khabar sengaja nak jatuhkan Mawi. Niezam siarkan pula gambar mereka beraya. Peminat telefon dan maki hamun lagi. Dia orang kata gambar itu gambar super impose.

Last sekali, Mawi dan Ekin sah jadi laki bini. Sekarang Niezam pula nak maki hamun dan sumpah seranah kepada orang-orang itu. Minggu ini Niezam nak cerita sikit gosip panas fasal seorang artis dangdut yang tidak sedar dek untung ini. Adoiii!

Artis dangdut ini berkawan baik dengan seorang wartawan. Niezam pernah pesan dekat wartawan itu. Jangan baik sangat dengan artis sebab tak semua artis, kita boleh buat baik. Apatah lagi artis yang talam dua muka.

Wartawan ini degil juga. Siap bagi muka depan, muka tengah, muka belakang, dalam surat khabar dia sebab nak tolong kononnya. Sekarang Niezam kata dekat wartawan tu padan muka.

Sebabnya dalam baik-baik, artis dangdut itu dah pijak kepala wartawan berkenaan dan sebar cerita yang bukan-bukan fasal wartawan yang pernah menolongnya dulu.

Itulah nasib wartawan kalau buat baik nak tolong artis. Artis tak ada jasa pula untuk wartawan.

Fitnah artis ini juga turut disebarkan pula oleh seorang lagi artis lain melalui tulisannya dalam blog.

Mereka mempersoalkan kenapa wartawan mampu pakai kereta besar dan boleh beli barang-barang mahal. Eh... helo! Wartawan dibayar gaji yang cukup besar bersesuaian dengan kelulusan dia orang.

Kebanyakan wartawan sekarang berkelulusan tinggi. Tapi tak ramai artis yang tinggi kelulusan mereka berbanding wartawan apatah lagi artis dangdut ini. Dalam sejarah, tak ada orang yang jadi wartawan masa tuanya duduk dalam rumah buruk.

Niezam: Duduk rumah murah.

Tak semua benda boleh masuk surat khabar

Selasa lalu Niezam singgah di PWTC untuk mengikuti kes hangat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan Finas.

Semasa tengah kecoh seorang produser bangun mempersoalkan tugas wartawan yang tidak pernah melaporkan berita tentang Senator Tan Sri Jins Shamsuddin yang membawa macam-macam usul di Dewan Negara.

Kata produser tu, wartawan tak pernah hendak menulis perkara yang Jins bangkitkan sehingga ramai pihak yang berkata Jins tak buat apa-apa selama menjadi Ahli Dewan Negara.

Kepada produser itu, Niezam nak bagi tahu di sini, wartawan banyak kerja lain perlu ditulis. Kalau nak tulis semua Ahli Dewan atau Ahli Parlimen cakap, seratus muka surat khabar pun tak cukup.

Kepada si produser dengar sini. Wartawan hanya akan tulis perkara bermutu tak kiralah ia dibangkitkan dalam Dewan Rakyat ataupun dalam jamban sekali pun.

Kalau Jins Shamsuddin bangkitkan perkara yang bagus sehingga boleh merubah industri hiburan menjadi luar biasa, berita itu akan mendapat muka depan surat khabar.

Niezam percaya kalau wartawan berkenaan tak tulis juga berita yang sebaik itu, dia akan dapat surat berhenti kerja.

Tetapi wahai produser, sedar atau tidak semasa Jins Shamsuddin menjadi senator, dia membawa usul untuk menghapuskan gosip dalam akhbar.

Adakah itu satu isu besar dalam negara yang wajar dibahaskan di dalam dewan? Bagi Niezam, isu gosip atau usik mengusik dalam akhbar adalah benda yang remeh. Ia ibarat orang kentut. Yang terbau kentut akan marah tapi marah dia tak sampai lima minit pun.

Selain artis, ahli politik juga selalu kena usik dalam ruangan pojok politik. Malah dari zaman P.Ramlee dulu pun ruangan gosip dah ada.

Jins membawa isu seperti itu yang dianggap sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ia adalah salah satu contoh tidak semua benda yang diucapkan oleh orang di dalam dewan itu boleh dipetik pemberita.

Sebenarnya kalau kita buat kerja dengan bagus, wartawan tak lapor pun, benda itu akan jadi bagus. Yang tak bagusnya apabila kita buat kerja tak beberapa bagus tapi kita nak orang nampak bagus. Maka jadilah macam sikap produser yang Niezam maksudkan ini.

Niezam: Masih belum bagus.

Terima kasih UUM

Seramai 38 artis dan penggiat seni menerima tawaran dari Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyambung pelajaran secara luar kampus peringkat Ijazah Sarjana Muda. UUM menawarkan dua bidang pengajian iaitu Komunikasi dan Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa.

Niezam nak mengucapkan terima kasih kepada UUM kerana membuka peluang itu. Terima kasih juga kerana memberi ruang untuk mengubah persepsi masyarakat yang selama ini menganggap artis-artis semua tak boleh pakai.

UUM melihat golongan artis pada hari ini perlu diberi suntikan dalam bentuk ilmu kerana mereka tak boleh mengharapkan bakat semata-mata.

Bakat tidak boleh dibayar dalam bentuk pencen tetapi ilmu ada. Kalau artis-artis mengharapkan bakat mereka untuk hidup, bodohlah artis itu. Orang yang ada bakat, apabila dia tidak boleh nak persembahkan bakat dia itu, orang keliling akan sisihkan dia macam peminta sedekah.

Tapi kalau seseorang ada ilmu yang tinggi, nak jadi apa pun tak apa sebab orang akan pandang tinggi.

Langkah UUM memperkenalkan pengajian secara eksekutif kepada para artis adalah satu peluang yang sepatutnya direbut oleh artis. Setakat ini hanya ada 38 orang artis dan penggiat seni sahaja yang akan mengikuti pengajian tersebut.

Selepas ini artis-artis lain diharap akan mengikut jejak Diddy Hirdy, Elmida Rosmila, Zehra Zamri dan Noh (Hujan) untuk menjadi artis yang ada ilmu.

Kepada artis-artis itu pula tolonglah ingat, apabila sudah menjadi pelajar universiti kerjanya bukan seperti kita menyanyi. Jangan separuh jalan atau macam hangat-hangat tahi ayam.

Niezam: Apa khabar Liena Hangat?

Artikel Lain