suria

Sektor Korporat Perlu Beri Lebih Banyak Peluang Untuk Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan

KUALA LUMPUR: Sektor korporat perlu memberi lebih banyak peluang kepada wanita untuk memegang jawatan kanan atau di peringkat pembuat keputusan memandangkan wanita kini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata memandangkan sektor korporat sebahagian daripada kejayaan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE), kemampuan wanita dalam sektor itu tidak boleh dipinggir.

"Terdapat begitu banyak wanita yang berpotensi, berbakat, komitmen dan mempunyai kepakaran.

"Jika dalam sektor korporat, wanita dipinggirkan, ia sudah pasti memberi kesan drastik kepada pencapaian kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Wanita 2010 di sini hari ini.

Ditanya mengenai sebab hanya lapan peratus wanita memegang jawatan kanan atau di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat, Shahrizat berkata ia mungkin kerana stereotaip peraturan gender.

Terdahulu dalam ucapannya Shahrizat berkata sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang kemuncaknya 25 Ogos, akan memberi tumpuan kepada lima fokus Dasar Wanita Negara iaitu Wanita dan Ekonomi, Wanita dan Undang-Undang, Wanita dan Kesihatan, Wanita di peringkat pembuat keputusan dan politik serta mekanisme, jentera pelaksana dan institusi pembangunan wanita.

Beliau berkata sambutan Hari Wanita Kebangsaan bermula hari ini sehingga 25 Ogos di seluruh negara dengan lebih 49 aktiviti akan dijalankan termasuk seminar, pemeriksaan kesihatan serta bengkel kraftangan. - BERNAMA

Artikel Lain