suria

Rosmah Mahu Swasta Lebih Prihatin Bina Prasarana Mesra OKU

IPOH: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menggesa sektor swasta agar lebih prihatin terhadap keperluan serta kepentingan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam menyediakan sebarang bentuk prasarana atau perkhidmatan.

Katanya, masih terdapat banyak prasarana yang dibangunkan serta perkhidmatan yang disediakan tidak mengambil kira kepentingan golongan OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka.

"Saya menyeru agar warga korporat tampil membantu pihak kerajaan membela golongan OKU dengan menjadikan ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya.

Beliau berucap merasmikan Karnival Jualan Produk Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan Pertandingan Talentime OKU Piala Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak 2010 di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Rosmah juga berharap lebih banyak syarikat swasta mengikut jejak kerajaan dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengambil kira kekurangan fizikal mereka.

Mengenai program tersebut, beliau berkata ia memberi peluang mencungkil bakat OKU dan diketengahkan kepada masyarakat, manakala karnival itu pula akan membantu memasarkan produk-produk PDK yang dihasilkan golongan OKU secara lebih meluas.

"Saya pasti ia akan membantu meningkatkan lagi taraf hidup serta ekonomi mereka untuk terus berdikari dalam mengharungi cabaran kehidupan seharian,"katanya.

Selain itu, Rosmah juga menyeru Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Perak (Baiduri) serta pertubuhan bukan kerajaan agar menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat OKU yang mampu berdikari, berwawasan serta berjaya menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada proses pembangunan negara.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Rahman Hashim, Yang Dipertua Baiduri Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak Chong Phaik Kee. - BERNAMA

Artikel Lain