suria

Mudahkan Urusan Untuk Bolehkan Rakyat Berniaga - TPM

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan diminta supaya membantu usaha memudahkan urusan bagi membolehkan rakyat yang ingin berniaga memperolehi peluang untuk berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat gesaan itu berkata dalam usaha kerajaan membantu rakyat menambahkan pendapatan, karenah dan keengganan pihak berkenaan mengeluarkan lesen boleh merencatkan perancangan itu.

"Satu daripada usaha kerajaan ialah berusaha menambahkan pendapatan rakyat, ini adalah satu bidang yang diberikan penekanan," katanya ketika berucap merasmikan bulan ekonomi dan keusahawanan sempena Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Wangsa Maju di Pasar Besar Gombak, Batu 5, Jalan Gombak di sini, Sabtu.

"Antara usahanya ialah menyediakan peluang-peluang perniagaan. Lesen-lesen (perniagaan) perlu dikeluarkan sebanyak mungkin. Jangan dihalang kalau ada usaha rakyat untuk berniaga," tambahnya.

Hadir sama di majlis itu ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Al-Habshe.

Muhyiddin berkata pihak berwajib perlu membantu dengan memberikan kebenaran sekiranya terdapat permohonan daripada rakyat untuk menjadikan mana-mana kawasan lapang yang difikirkan sesuai, sebagai kawasan perniagaan.

Katanya kebenaran seumpama itu bukan ditumpukan kepada perniagaan di bulan Ramadan sahaja tetapi juga untuk sepanjang masa.

"Di mana ada ruang dan kawasan lapang yang sesuai, termasuk di Wilayah Persekutuan, bukan hanya tunggu bulan Ramadan, tetapi untuk sepanjang masa, maka mereka haruslah dibantu,"katanya.

Sehubungan itu Muhyiddin meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menambah bilangan lesen perniagaan seumpama itu supaya lebih banyak peluang perniagaan dapat diwujudkan. - BERNAMA

Artikel Lain