suria

Melombong Pasir: KSSB Patuh Peraturan

KUALA LANGAT: Anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) pada Sabtu menafikan beberapa dakwaan berkaitan aktiviti perlombongan pasir di negeri itu dilakukan tanpa menghirau keadaan alam sekitar.

Pengarah Eksekutif KSSB, Ramli Abdul Majed berkata, dakwaan itu tidak benar dan KSSB telah mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh jabatan berkuasa negeri itu.

Malah katanya, sebelum sesuatu projek dijalankan kajian terperinci dan laporan lengkap disediakan sebelum sesuatu projek dimulakan.

"Kita telah melantik sebuah syarikat perunding bebas iaitu Enviro Enhance Sdn Bhd yang berperanan untuk membuat segala kajian sebelum sesuatu projek dijalankan.

"Seperti projek perlombongan pasir di Kampung Olak Lempit, enam bulan projek berjalan, pihak konsultan telah menjalankan pelbagai kajian dan laporan dalam memastikan segala eko-sistem semulajadi di kawasan itu terpelihara," katanya ketika mengulas dakwaan kawasan itu dikorek melebihi 60 meter atau 200 kaki oleh KSSB di sini.

Ramli dalam pada itu berkata, kedalaman lubang yang dikorek di kawasan itu hanya berukuran 15 meter dan bukan seperti yang didakwa.

Sebanyak enam tempat yang dikorek juga hanya mempunyai kedalaman sebanyak 30 meter atau 90 kaki.

Terdahulu, Ramli yang disertai oleh beberapa pegawai dari KSSB, ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei dan lebih 40 wakil media melawat ke tapak perlombongan pasir di Kampung Olak Sempit di sini.

Lawatan itu diadakan bagi melihat sendiri kawasan itu yang menjadi kecoh dengan beberapa dakwaan ia telah merosakkan alam sekitar selain menceroboh dan melakukan aktiviti perlombongan secara besar-besaran ke kawasan Paya Indah Wetlends yang terletak kira-kira 110 meter dari tempat perlombongan pasir itu.

"Jelas daripada tempat utama yang kita korek pasir ada diletakkan tanda supaya kita tidak mencerobohi kawasan itu dan jelas kepada semua yang hadir pada hari ini Paya Indah Wetlands tidak terjejas," ujarnya.

Sementara itu, Ramli memberitahu satu Plan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) telah dilakukan di kawasan tersebut melalui syarikat perunding KSSB dan pemantauan berterusan sejajar dengan kehendak pihak berkuasa dan pelan itu akan terus dijalankan sehingga proses mengorek pasir selesai.

"Semuanya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Sehingga kini tidak terdapat sebarang percanggahan dengan undang-undang dan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

"Malah apa jua bentuk pencemaran terhadap Paya Indah Wetlands tidak berlaku sama sekali," katanya.

Pada sidang media yang sama KSSB telah menandatangani dua perjanjian antara Marita Sdn Bhd dan First Reap Sdn Bhd yang membenarkan kerja-kerja mengorek pasir di atas tanah seluas 50 ekar setiap satu masing-masing di Mukim Labu, Sepang dan Kuala Langat.

Artikel Lain